Kota Bharu, 24 Dis - Ketegangan dan konflik di selatan Thailand dianggap memiliki rahmat apabila masyarakat Islam semakin bersatu dan penghayatan Islam semakin meningkat di kawasan berkenaan.
Menurut aktivis kemasyarakatan dari Yala, Saudara Mansor Saleh, suasana di wilayah-wilayah majoriti umat Islam itu kini lebih jelas penghayatan Islam berbanding sebelum konflik yang telah meragut lebih 3500 nyawa tercetus empat tahun lalu.
"Kalau sebelum ini banyak aktiviti maksiat dijalankan begitu terbuka, kini hampir keseluruhan tempat-tempat tercela ini tidak lagi menjalankan aktiviti secara berleluasa," katanya yang menggerakkan pusat pembelajaran berterusan yang berpusat di bandar Yala.
Sekolah-sekolah Islam pula menurut beliau kini mendapat sambutan hangat penduduk tempatan kerana semakin yakin hanya dengan memberikan pendidikan Islam masa depan mereka lebih terjamin kerana dapat mengelak dari terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.
Dari segi pengajaran Islam beliau turut melahirkan rasa syukur kerana sejak kebelakangan ini isu perpecahan antara kumpulan pondok tradisional dan ulamak muda lepasan Asia Barat semakin reda.
"Sebelum konflik ini berlaku keadaan tegang berlaku antara golongan pondok yang mempertahankan tradisi Syafiiyah dengan para ulamak muda yang membawa sentimen anti Bidaah yang dicedok dari kebanyakan pusat penyebaran Islam di tanah Arab," ujar beliau.
Perubahan menurut beliau amat ketara sekarang apabila kedua-dua pihak telah banyak bertolak ansur dan sama-sama berganding bahu bagi membangunkan masyarakat setempat yang kini terhimpit akibat kekacauan yang tercetus antara pihak pemerintah dan penentang bersenjata.
Berkaitan kerjaaan baru pimpinan Abhisit beliau berkata rakyat selatan Thai masih tertunggu pengumuman dasar kerajaan baru kerana parti Demokrat yang kini berkuasa mempunyai sokongan meluas di wilayah yang bergolak itu
"Rakyat selatan amat berharap kerajaan baru membawa pendekatan berbeza dengan membanyakkan perbincangan dengan masyarakat tempatan berbanding tindakan kerajaan sebelum ini yang dilihat menutup pintu rundingan," jelas beliau lagi.
1 comment:
Mungkin ya tapi realitinya tidak
Post a Comment