Monday, July 28, 2008

Muzakarah dan Muqabalah bawa PAS ke episod baru

Asalnya tiada siapa menyangka beberapa langkah yang dianggap biasa dalam politik bertukar membentuk badai dan gelombang begini besar.

Sebaik keputusan tidak memihak kepada Umno dan Barisan Nasional di Selangor, Perak ,Pulau Pinang dan Kedah pada pilihanraya 8 Mac lalu, adalah biasa para pemimpin parti itu cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan keadaan.

Dari segi angka keputusan, adalah jelas jika Umno dapat memujuk PAS untuk berkongsi kuasa maka sudah tentu negeri-negeri Selangor, Perak dan juga Kedah akan dapat diselamatkan dari menjadi negeri pembangkang.

Dan jika ini berlaku tentulah keadaan menjadi selesa bagi parti pemerintah untuk mengendalikan pelbagai masalah di Kelantan dan Terengganu.

Sebagai ketua parti, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memang melakukan tindakan wajar untuk berunding dengan mana-mana pihak yang pada pandangan beliau boleh membawa penyelesaian.

Barangkali atas asas sejarah bagaimana Tun Abdul Razak Hussein telah berjaya mempengaruhi PAS bagi menyelematkan keadaan selepas berlaku keadaan hampir serupa pada 1969, parti pembangkang itu menjadi pilihan Abdullah untuk dihulurkan pancing.

Di pihak pemimpin-pemimpin tertinggi PAS sendiri sudah tentu telah menduga situasi ini.

Sebaik undangan sampai, mereka dengan pantas menyahut kerana yakin dalam kedudukan itu tidak akan berlaku sebarang perkara pelik dari apa yang dijangka oleh orang ramai.

Meskipun PAS menang dengan angka yang agak besar, mood kempen dan kemudian kemenangan demi kemenangan adalah pergerakan bersama parti-parti di luar kerajaan.

Seperti diketahui umum pola pengundian dalam pilihanraya ke 12 lalu tersasar dari kebiasaan politik Malaysia yang selalunya berkisar atas sentimen perkauman dan kepuakan parokial.

Rakyat Malaysia jelas hanya terbelah dua. Sama ada memihak kepada penyandang Barisan Nasional atau parti-parti bukan Barisan Nasional yang diharap membawa harapan baru yang tidak akan mewarisi segala macam gejala dan kebejatan yang menjadi darah daging parti yang telah begitu lama memerintah.

PAS cukup memahami hakikat ini. Untuk pertama kali dalam sejarah, portal on-line rasmi PAS, harakahdaily menyiarkan gambar petugas-petugas pilihanraya yang bukan beragama Islam membawa dan memakai simbol parti Islam itu dalam pelbagai ragam.

Baju-T yang bertulis "PAS For All", "We love Tok Guru" dan lain-lain slogan yang selalunya hanya dipakai para pemuda PAS menjadi hiasan di dada penganut Hindu, Budha, Kristian dan lain-lain agama secara begitu berlelausa.

Pemimpin-pemimpin PAS yang bertanding di kawasan-kawasan yang majoritinya bukan Melayu menceritakan rasa terharu dan ada yang menitiskan air mata melihat situasi yang tidak pernah diimpikan ini.

Bertolak dari keadaan ini, pemimpin dan ahli PAS melangkah selesa untuk mewujudkan pakatan dengan parti-parti pembangkang lain. Tanpa perlu merujuk kepada ahli secara rasmi melalui muktamar, pemimpin PAS terus bersetuju untuk bersekutu dalam pasukan baru yang diberi nama Pakatan Rakyat.

Ahli dan pemimpin PAS langsung tidak memikirkan soal 'dealing' dengan Umno dan Barisan Nasional.

Seperti yang disebutkan Perdana Menteri Abdullah, beliau memang mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS sebaik keputusan pilihanraya diumumkan.

Pertemuan seperti ini memang atas rancangan pemimpin Umno bagi menyelamatkan keadaan. Bagi pihak PAS rancangan seperti ini sama sekali tidak perlu pada waktu sedemikian.

Bagaimanapun adalah sesuatu yang wajar pemimpin PAS tidak terlalu sombong untuk menerima sebarang jemputan untuk sekadar mendengar dan memahami cadangan dan formula yang cuba dicadangkan Umno.

Keputusan tentu sekali tidak akan semudah itu dilaksanakan tanpa perundingan meluas dalam parti. Lagi pun semua pihak sangat faham kehendak majoriti ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat untuk membentuk senario baru dalam politik Malaysia tanpa melibatkan Umno dan Barisan Nasional.

Keaadan ini berlalu tanpa sebarang keriuhan walaupun gosip dan khabar angin bertiup kencang tentang konon wujudnya perundingan belakang tabir antara PAS dan Umno. Malah dan blog-blog tertentu dan sebaran SMS, nama-nama pemimpin yang dikatakan telah termakan umpan Umno disenaraikan satu persatu.

Orang ramai cuma menjadi terkejut apabila sekumpulan pemimpin PAS di Terengganu secara beramai-ramai mengadap Menteri Besar yang baru naik dengan cara yang aneh itu.

Sama ada penyokong PAS dan Pakatan Rakyat mahupun Penyokong Barisan Nasional semuanya gempar.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat mereka tersinggung kerana mereka langsung tidak ada maklumat tentang usaha untuk mewujudkan perundingan antara kedua-dua pihak. Sedangkan pertemuan seperti itu, melalui gambaran media seolah-olah berlaku dengan perancangan yang diatur dengan baik.

Bagi pihak Umno, mereka mula melihat perkembangan ini satu peluang besar. Bagi perancang-perancang politik licik mereka peluang ini mesti diambil untuk melakukan dua perkara besar. Pertama supaya PAS berpecah kerana marahkan pemimpin yang dianggap melakukan pakatan secara rahsia dengan pihak musuh. Kedua supaya sekutu-sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat melabel PAS sebagai menikam kawan dari belakang.

Permainan media yang menjurus ke arah matlamat ini menyaksikan kelam kabut yang agak ketara.

Perdana Menteri Abdullah mendedahkan kononnya telah tiga kali berunding dengan PAS demi menyelamatkan Melayu dan Islam. Media pro-Umno terus mendendangkan betapa perlunya kedua-dua parti itu bersemuka dan bermuzakarah demi kepentingan bangsa dan agama.

Sampai satu peringkat, Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan fatwa mengejut bahawa muzakarah PAS-Umno tidak akan diadakan. Segala perbincangan tentang hal itu diarahkan tutup serta merta.

Bagi meleraikan hal ini, Majlis Syura mengadakan mesyuarat tergempar di Kota Bharu. Hasilnya diputuskan bahawa PAS sama sekali tidak akan bermuzakarah dengan Umno. Kalau pun ada pertemuan ia sekadar Muqabalah (istilah yang baru diperkenal bermaksud percakapan atau perbincangan yang tidak bermatlamat untuk membuat sebarang keputusan).

Dengan keputusan itu, jelaslah bagi penyokong PAS dan Pakatan Rakyat. PAS akan terus bersetia dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat tanpa sebarang was-was.

Dalam keadaan tertentu tidak perlu mengelak untuk bercakap dan berbincang dengan Umno dalam ruanglingkup yang tidak melibatkan pakatan politik kedua-dua parti.

Kini apa yang berlaku ialah percubaan Umno untuk terus memperbesarkan isu ini kerana mereka semakin yakin jerat yang mereka pasang semakin mengena.

Dari dalam, ahli PAS ada yang berapi-api marahkan pemimpin mereka yang dilabel dengan pelbagai cap yang negatif.

Pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pakatan Rakyat mula mempersoalkan PAS secara yang agak kasar kerana dituduh tidak bersetia dengan rakan.

Perkembangan ini sebenarnya satu rezeki mendatang kepada PAS. Dengan keadaan krisis seperti ini PAS akan bergerak selangkah kehadapan untuk memperkenalkan diri kepada khalayak rakyat Malaysia.

PAS merupakan parti paling stabil di Malaysia seperti kata Naib Presidennya Dato' Husam Musa.

Percubaan untuk memecah belahkan PAS tidak akan sampai ke mana. Kemarahan ahli PAS akan segara tamat apabila episod ini berakhir dengan jelas. PAS tidak akan sama sekali akan mengadakan pakatan dengan Umno. Semakin hari semakin menyerlah bahawa yang tergila-gila untuk kononnya berpakat ialah Umno.

Tawaran bekas Menteri Besar Perak, Tajol Rosli Ghazali untuk melantik Menteri Besar PAS jika berlaku perkongsian PAS-Umno bukan sekadar kebudak-budakan malah ia melambangkan taktik busuk hati Umno dalam berpolitik.

Keadaan akan pasti reda apabila ikatan PAS dalam Pakatan Rakyat bukan sekadar tidak putus bahkan akan semakin kukuh selepas melalui episod ini.

Kehendak PAS untuk bersama Pakatan Rakyat bukan strategi politik yang hanya difahami oleh segelintir pemimpin tertingginya sahaja tetapi ia kehendak umum ahli parti itu di semua peringkat.

Muktamar PAS yang bakal diadakan di Ipoh 15 Ogos ini akan menyaksikan mandat seluruh ahli PAS untuk terus kukuh bersama Pakatan Rakyat.

Episod Muzakarah dan Muqabalah ini akan menjadi sumber inspirasi besar kepada pada pendokong PAS untuk memberi lampu sehijau-hijaunya kepada pemimpin mereka untuk terus mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Umno dan Barisan Nasional bakal mendapat malu besar jika mereka terus mempermainkan isu ini dengan harapan PAS akan berpecah belah serta dibenci rakan-rakannya.

Sunday, July 27, 2008

PAS Kelantan pasca PRU 2004: Gerakan Islam dalam menghadapi realiti politik

Keputusan pilihanraya 2004 di Kelantan merupakan kejutan terbesar kepada PAS, kalaupun bukan satu tragedi. Parti yang memerintah sejak 1990 bagi pusingan kedua selepas kemerdekaan negara hanya mampu mempertahankan 23 kerusi di dewan undangan negeri. Hanya melebihi 2 kerusi daripada pihak lawannya, Barisan Nasional (BN).

Situasi ini telah menimbulkan satu suasana cemas dalam mentadbir sebuah kerajaan. Dengan kemunculan tokoh-tokoh baru, perubahan strategi telah dilaksanakan dengan ketara oleh parti Islam yang mengendalikan pemerintahan. Dari sebuah parti yang menggunakan unsur tradisi dan bergantung harap kepada karisma kepimpinan, PAS bergerak cepat memenangi hati rakyat dengan keupayaan perkhidmatan dan kecekapan sistem penyampaian dalam sistem politik moden.