Thursday, December 25, 2008

Ketegangan di selatan Thai bawa rahmat - aktivis sosial



Kota Bharu, 24 Dis - Ketegangan dan konflik di selatan Thailand dianggap memiliki rahmat apabila masyarakat Islam semakin bersatu dan penghayatan Islam semakin meningkat di kawasan berkenaan.

Menurut aktivis kemasyarakatan dari Yala, Saudara Mansor Saleh, suasana di wilayah-wilayah majoriti umat Islam itu kini lebih jelas penghayatan Islam berbanding sebelum konflik yang telah meragut lebih 3500 nyawa tercetus empat tahun lalu.

"Kalau sebelum ini banyak aktiviti maksiat dijalankan begitu terbuka, kini hampir keseluruhan tempat-tempat tercela ini tidak lagi menjalankan aktiviti secara berleluasa," katanya yang menggerakkan pusat pembelajaran berterusan yang berpusat di bandar Yala.

Sekolah-sekolah Islam pula menurut beliau kini mendapat sambutan hangat penduduk tempatan kerana semakin yakin hanya dengan memberikan pendidikan Islam masa depan mereka lebih terjamin kerana dapat mengelak dari terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.

Dari segi pengajaran Islam beliau turut melahirkan rasa syukur kerana sejak kebelakangan ini isu perpecahan antara kumpulan pondok tradisional dan ulamak muda lepasan Asia Barat semakin reda.

"Sebelum konflik ini berlaku keadaan tegang berlaku antara golongan pondok yang mempertahankan tradisi Syafiiyah dengan para ulamak muda yang membawa sentimen anti Bidaah yang dicedok dari kebanyakan pusat penyebaran Islam di tanah Arab," ujar beliau.

Perubahan menurut beliau amat ketara sekarang apabila kedua-dua pihak telah banyak bertolak ansur dan sama-sama berganding bahu bagi membangunkan masyarakat setempat yang kini terhimpit akibat kekacauan yang tercetus antara pihak pemerintah dan penentang bersenjata.

Berkaitan kerjaaan baru pimpinan Abhisit beliau berkata rakyat selatan Thai masih tertunggu pengumuman dasar kerajaan baru kerana parti Demokrat yang kini berkuasa mempunyai sokongan meluas di wilayah yang bergolak itu

"Rakyat selatan amat berharap kerajaan baru membawa pendekatan berbeza dengan membanyakkan perbincangan dengan masyarakat tempatan berbanding tindakan kerajaan sebelum ini yang dilihat menutup pintu rundingan," jelas beliau lagi. 

Monday, December 22, 2008

Isu hudud kukuhkan PAS hadapi 17 Januari ~ ref Malaysiakini

Isu hudud tercetus lagi. Media perkakas Barisan Nasional dengan segera cuba mengambil kesempatan dari kenyataan Dato' Husam Musa di majlis forum di Kota Bharu 21 Disember lalu.

Banyak pihak temasuk dari kalangan penyokong PAS kelihatan panik. Ramai beranggapan isu ini akan memalapkan PAS dalam menghadapi pilihanraya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Saya berpendapat kemunculan isu ini merupakan bonus besar kepada PAS. Kini PAS menjadi fokus. Sekali lagi semua mata tertumpu untuk mengenali parti ini dari dekat. Ada yang datang dengan wajah garang dan mata yang berapi untuk marahkan parti itu. Tidak kurang berduyun-duyun akan menampilkan pembelaan.

Benarkah PAS tiba-tiba jadi parti jahat, tidak toleran dan harus dijauhi oleh orang lain semata-mata janji untuk laksanakan hudud jika ditakdirkan berkuasa mentadbir negara ini. 

PAS diasaskan oleh mereka yang mahukan kebaikan dan sentiasa berusaha menolak segala bentuk kejahatan dan penyelewengan. Realiti semasa menunjukkan para pendokong PAS dari ahli biasa hingga pimpinan tertingginya adalah daripada orang yang baik-baik. Mereka taati perintah Allah sekadar termampu dan sentiasa berjuang menolak kejahatan dan kemungkaran.

Dengan tercetus isu seperti ini sekali lagi sesiapa saja boleh menghampiri orang-orang PAS. Dengan perkenalan rapat mereka tentu akan bertemu untuk memahami perbezaan PAS dengan penentangnya. Sesiapa pun yang tidak keliru tentu akan lebih yakin dengan PAS yang berjuang untuk kebaikan sejagat berbanding para penentangnya yang bergelumang segala macam durjana dan penyelewengan.

Hudud merupakan salah satu arahan tetap agama Islam seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Ia bukan ideologi atau manifesto PAS tetapi kewajipan setiap muslim bila mereka berkuasa untuk melaksankannya. Malangnya ada pihak yang cuba mengelirukan keadaan dengan sangkaan mereka dapat beroleh keuntungan politik dengan melabel hudud adalah agenda PAS. Sebagai muslim yang taat PAS tidak akan ragu untuk terus berbuat segala yang telah diperintah. 

Yakinlah bahawa mereka yang cuba mempermainkan-mainkan perintah Allah akan menghadapi akibat yang buruk. PAS harus bersyukur dengan kemunculan isu ini menjelang pilihanraya di Terengganu kerana dengan perbicangan meluas akan jelaslah kepada pengundi siapa yang berusaha membela mereka dengan kebaikan dan siapa pula yang sebenarnya mempermain-mainkan agama untuk kepentingan politik sempit. - puteratokbali.blogspot.com

Tuesday, October 7, 2008

Tazkirah buat Pas Terengganu

Dilulus terbit pada Monday, October 06 @ 14:17:07 MYT oleh greenboc
Analisis Isu Oleh cacinghijau

"a
Mutakhir ini, Pas ada sedikit masalah dalaman. Saya mempunyai bukti yang empirikal untuk mengesahkan perkara ini. Namun atas dasar berjemaah, biarlah perkara ini terpendam jauh di lubuk hati.

Saya bersetuju atas semua pandangan untuk mengukuhkan halatuju dan gerak tari perjuangan Pas. Namun saya kurang bersetuju apabila taktikal dan strategi yang dirangka oleh pemimpin-pemimpin Pas Terengganu begitu diagung-agungkan oleh pendokong Pas.

Lebih hairan, kawan-kawan daripada negeri yang menang dalam PRU 12 yang lepas pun turut terpengaruh dengan permainan politik pemimpin Pas Terengganu.

Saya sendiri orang Terengganu.

Saya masih terlibat secara langsung dengan salah satu kawasan pilihanraya di Terengganu.

Kawan baik saya yang sama mak dan sama ayah adalah salah seorang calon Pas Terengganu dalam PRU 12 yang lepas.

Sekian lama, termasuk dalam kempen PRU 12 yang lepas, saya berpendirian bahawa pendekatan politik Pas Terengganu tidak strategik.

Bagi saya senang, politik adalah persepsi. Untuk mendapat sokongan dan meraih kredit politik, persepsi masyarakat terhadap Pas perlu dielokkan.

Bukan sekadar persepsi daripada orang Pas, tapi seluruh masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, jantina, SES status, pendidikan, sosial dan lain-lain.

Prinsipnya mudah, semua orang hanya boleh memberi satu undi.

Orang Islam dan bukan Islam, semua satu undi.

Orang kaya dan orang miskin, juga masing-masing satu undi.

Orang segak dengan orang capik, juga satu undi.

Orang sihat dengan orang sakit, masing-masing satu undi.

Bagi mendapat sokongan majoriti dan diterima secara menyeluruh Pas mesti mengambil kira semua komponen masyarakat yang ada.

Pas tidak boleh menang dengan hanya undi orang Pas sahaja.

Inilah yang tidak dilakukan oleh Pas Terengganu.

PKR Terengganu lumpuh dan tenat 'diganyang' oleh Pas.

Sepatutnya PKR dijadikan alat dan batu loncatan oleh Pas untuk memenangi pilihanraya.

Kerana ramai orang Umno yang yang dah benci dan mual dengan Umno/BN, tapi mereka sukar untuk menyertai Pas.

Maka PKR mesti dihidupkan untuk menyediakan platform bagi mereka menentang Umno/BN.

Pas mesti menolong PKR bernafas, supaya mereka boleh mainkan peranan yang tidak boleh kita mainkan dengan label Pas.

Tapi Pas Terengganu tidak bertindak begitu.

Pas Terengganu sentiasa melihat PKR sebagai ancaman, bukan peluang.

Akhirnya, orang-orang yang sebelum ini sokong PKR kembali sokong Umno/BN.

Akibatnya, ketika negeri-negeri lain begitu gah meraih kemenangan, Pas Terengganu ditolak oleh rakyat yang majoritinya Melayu dan Islam.

Kalau dah orang Melayu dan Islam sendiri menolak Pas, apa lagi yang Pas Terengganu hendak banggakan.

Ketika negeri lain yang Pasnya tidak begitu kuat seperti Johor, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan dan lain-lain boleh menang, kenapa Pas Terengganu tersungkur penuh keaiban?

Jawapannya mudah, strategi politik Pas Terengganu tidak menjadi.

Saya berautoriti untuk mengatakan hakikat ini kerana saya orang Terengganu dan terlibat dengan jentera Pas Terengganu.

Tak tahulah pulak kalau ada kawan-kawan daripada negeri lain yang lebih faham tentang negeri Terengganu berbanding saya, lalu ingin menentang pandangan saya.

Selain itu Pas Terengganu juga sentiasa memusuhi dan meletak prasangka yang sangat tinggi kepada Anwar Ibrahim.

Sedangkan pada masa sekarang dan dalam PRU 12 lepas, massa/rakyat umum begitu menerima dan mengagumkan Anwar.

Pas Terengganu tidak bijak memanfaatkan peluang ini untuk mendapat sokongan dan kepercayaan masyarakat.

Akhirnya mereka tewas teruk dalam PRU 12 yang lepas.

Dalam gerakan Islam, apa sahaja strategi yang syarie boleh digunakan untuk mencapai matlamat perjuangan.

Apa yang tidak syarienya mempergunakan Anwar untuk Pas menang di Terengganu?

Seharusnya kita bijak mengatur strategi dan memanfaatkan peluang yang ada untuk menang.

Semua orang tahu bahawa Anwar bekasan Umno.

Semua orang tahu bahawa Anwar begitu licik politiknya.

Semua orang tahu bahawa Anwar ada agenda politik beliau.

Tetapi tidak salah menjadikan Anwar sebagai satu peluang dan aset untuk kita menang pilihanraya, khususnya untuk Pas Terengganu.


Puak Erdogan

Paling saya bimbang, sebahagian pemimpin Pas Terengganu ingin menjadi juara merangka strategi untuk politik Malaysia.

Lalu keluarlah daripada mereka analisis, strategi, percaturan dan sebagainya berkaitan halatuju politik Malaysia.

Analisis saya senang saja, belum puaskah kamu memburukkan wajah Pas pada pandangan rakyat Terengganu, hingga kamu ingin pula memburukkan wajah Pas pada pandangan rakyat Malaysia pula?

Malangnya, strategi ini ditelan juga oleh pimpinan dan penggerak Pas di negeri lain, khususnya negeri yang memenangi PRU 12 baru-baru ini.

Nasihat saya mudah, untuk kawan-kawan di luar sana sama ada Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak dan lain-lain, teruslah dengan cara berpolitik kalian.

Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak kalian telah diterima oleh rakyat kalian dan berjaya memenangi PRU 12 yang lepas.

Usahlah kalian terpengaruh dengan taktikal 'serang', 'haram', 'pulau', 'labeling' yang dimomokkan oleh pemimpin Pas Terengganu.

Kerana terbukti strategi tersebut langsung tidak efektif dewasa ini.

Kerana pemimpin Pas Terengganulah, lahir istilah puak Erdogan dalam Pas.


Siapa yang memulakan istilah tersebut bukan lagi rahsia.


Siapa si Suhaimi yang berselindung di sebalik nama anti Husam jugak bukan lagi rahsia, semuanya adalah virus pemikiran Pas Terengganu.


Akhirnya strategi serang, haram, pulau, labeling yang menjadi mainan Pas Terengganu telah meresap kepada penyokong dan ahli Pas seluruh negara, yang akhirnya hampir memusnahkan jemaah.


Alangkah bahananya strategi pemimpin Pas Terengganu.


Ada yang kata, pemimpin Pas Terengganu bercakap berasaskan ilham, kerana tatkala kita lena diulit mimpi mereka berlazatan di atas sejadah bermunajat kepada Allah.


Ingin saya tegaskan, cara berfikir dan kaedah mengatur strategi pemimpin Pas Terengganu jauh berbeza dengan Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan.


Lalu ingin aku bertanya, tatkala pemimpin Pas Terengganu sedang berlazatan di atas sejadah bermunajat kepada Allah, adakah Tok Guru Nik Aziz sedang berkaraoke dan bergelek di kelab malam?


(Dipetik dari blog - puteragunungtebu.blogspot.com)

Komen

by Abu-Ubaidah on Tuesday, October 07 @ 08:53:12 MYT
(User Info | Send a Message)
Assalamulaikum Cacinghijau,

Terharu betul saya baca tulisan saudara....walaupun agak terlewat. Terlalu banyak persamaan dgn diri saya.....

Latarbelakang saudara boleh dikatakan 96.08% sama dgn saya.....saya juga orang Terengganu...bahkan saya dilahirkan dlm keluarga PAS...mak-ayah dan seluruh kaum-kerabat saya adalah PAS asal yaitu semenjak sebelum 1974 ketika PAS masih dlm BN di zaman Tun Razak...malahan hubungan kekerabatan keluarga saya dgn PJ PAS adalah sangat dekat dan rapat....malahan semasa saya di sekolah rendah dlm tahun2 70an, saya meluangkan masa saban hari di rumah Tok Su Cikgu Ali (almarhum) yaitu ayah kpd Cikgu Pa kita (saya memanggilnya Ayah Teh)...kerana belajar mengaji Qur'an hingga khatam...

Dan pandangan saudara tentang PAS Terengganu hari ini boleh dikatakan 99.94% adalah sama dgn pendirian saya.....saya sokong 100% tulisan saudara....saya setuju sangat2....memang betul...memang tepat....memang itulah yg saya fikirkan selama ini, yakni semenjak PRU12....cuma saudara lebih berani (dan lebih pandai) utk melontarkan pandangan saudara di TKO ini....saya tidak tergamak berbuat begitu kerana seperti sudah tahu akan natijahnya....sudah pasti saya akan dikutuk habis-habisan dan akan dilemparkan dgn berbagai-macam tuduhan yg sudah dapat dibayangkan - tali barut UMNO, pencacai, pemecah-belah, tidak Islamik, dan seumpamanya.

Tahniah...tahniah...! Rupa-rupanya masih ada rakyat Terengganu yg sependapat dan sependirian dgn saya dlm soal PAS ni....huh tak sangka betul...sebenarnya saya hampir2 berputus-asa dah dgn sikap dan cara orang kuat PAS di Trg berpolitik....tetapi tidaklah bermakna saya akan berpaling tadah dan menyokong UMNO pulak...tidak! Mustahil sama-sekali...cuma saya pernah terfikir kalau cara dan sikap PAS Trg ini berterusan dan tak nak berubah langsung....dan persepsi masyarakat umum di negeri Trg terhadap PAS telah dibentuk sebegini rupa.....PAS tak ada harapan lagi utk menang hatta sampai ke PRU21 sekali pun!

Semoga saudara 'cacinghijau' akan terus memberikan pandangan kerana banyak lagi hal2 berkenaan PAS Trg yg boleh kita bincangkan....saya hanya sekadar menumpang baca dan menyokong saja....Saya tak berani nak post artikel ttg topik sebegini....kena kutuk teruk wooo!

Monday, July 28, 2008

Muzakarah dan Muqabalah bawa PAS ke episod baru

Asalnya tiada siapa menyangka beberapa langkah yang dianggap biasa dalam politik bertukar membentuk badai dan gelombang begini besar.

Sebaik keputusan tidak memihak kepada Umno dan Barisan Nasional di Selangor, Perak ,Pulau Pinang dan Kedah pada pilihanraya 8 Mac lalu, adalah biasa para pemimpin parti itu cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan keadaan.

Dari segi angka keputusan, adalah jelas jika Umno dapat memujuk PAS untuk berkongsi kuasa maka sudah tentu negeri-negeri Selangor, Perak dan juga Kedah akan dapat diselamatkan dari menjadi negeri pembangkang.

Dan jika ini berlaku tentulah keadaan menjadi selesa bagi parti pemerintah untuk mengendalikan pelbagai masalah di Kelantan dan Terengganu.

Sebagai ketua parti, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memang melakukan tindakan wajar untuk berunding dengan mana-mana pihak yang pada pandangan beliau boleh membawa penyelesaian.

Barangkali atas asas sejarah bagaimana Tun Abdul Razak Hussein telah berjaya mempengaruhi PAS bagi menyelematkan keadaan selepas berlaku keadaan hampir serupa pada 1969, parti pembangkang itu menjadi pilihan Abdullah untuk dihulurkan pancing.

Di pihak pemimpin-pemimpin tertinggi PAS sendiri sudah tentu telah menduga situasi ini.

Sebaik undangan sampai, mereka dengan pantas menyahut kerana yakin dalam kedudukan itu tidak akan berlaku sebarang perkara pelik dari apa yang dijangka oleh orang ramai.

Meskipun PAS menang dengan angka yang agak besar, mood kempen dan kemudian kemenangan demi kemenangan adalah pergerakan bersama parti-parti di luar kerajaan.

Seperti diketahui umum pola pengundian dalam pilihanraya ke 12 lalu tersasar dari kebiasaan politik Malaysia yang selalunya berkisar atas sentimen perkauman dan kepuakan parokial.

Rakyat Malaysia jelas hanya terbelah dua. Sama ada memihak kepada penyandang Barisan Nasional atau parti-parti bukan Barisan Nasional yang diharap membawa harapan baru yang tidak akan mewarisi segala macam gejala dan kebejatan yang menjadi darah daging parti yang telah begitu lama memerintah.

PAS cukup memahami hakikat ini. Untuk pertama kali dalam sejarah, portal on-line rasmi PAS, harakahdaily menyiarkan gambar petugas-petugas pilihanraya yang bukan beragama Islam membawa dan memakai simbol parti Islam itu dalam pelbagai ragam.

Baju-T yang bertulis "PAS For All", "We love Tok Guru" dan lain-lain slogan yang selalunya hanya dipakai para pemuda PAS menjadi hiasan di dada penganut Hindu, Budha, Kristian dan lain-lain agama secara begitu berlelausa.

Pemimpin-pemimpin PAS yang bertanding di kawasan-kawasan yang majoritinya bukan Melayu menceritakan rasa terharu dan ada yang menitiskan air mata melihat situasi yang tidak pernah diimpikan ini.

Bertolak dari keadaan ini, pemimpin dan ahli PAS melangkah selesa untuk mewujudkan pakatan dengan parti-parti pembangkang lain. Tanpa perlu merujuk kepada ahli secara rasmi melalui muktamar, pemimpin PAS terus bersetuju untuk bersekutu dalam pasukan baru yang diberi nama Pakatan Rakyat.

Ahli dan pemimpin PAS langsung tidak memikirkan soal 'dealing' dengan Umno dan Barisan Nasional.

Seperti yang disebutkan Perdana Menteri Abdullah, beliau memang mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS sebaik keputusan pilihanraya diumumkan.

Pertemuan seperti ini memang atas rancangan pemimpin Umno bagi menyelamatkan keadaan. Bagi pihak PAS rancangan seperti ini sama sekali tidak perlu pada waktu sedemikian.

Bagaimanapun adalah sesuatu yang wajar pemimpin PAS tidak terlalu sombong untuk menerima sebarang jemputan untuk sekadar mendengar dan memahami cadangan dan formula yang cuba dicadangkan Umno.

Keputusan tentu sekali tidak akan semudah itu dilaksanakan tanpa perundingan meluas dalam parti. Lagi pun semua pihak sangat faham kehendak majoriti ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat untuk membentuk senario baru dalam politik Malaysia tanpa melibatkan Umno dan Barisan Nasional.

Keaadan ini berlalu tanpa sebarang keriuhan walaupun gosip dan khabar angin bertiup kencang tentang konon wujudnya perundingan belakang tabir antara PAS dan Umno. Malah dan blog-blog tertentu dan sebaran SMS, nama-nama pemimpin yang dikatakan telah termakan umpan Umno disenaraikan satu persatu.

Orang ramai cuma menjadi terkejut apabila sekumpulan pemimpin PAS di Terengganu secara beramai-ramai mengadap Menteri Besar yang baru naik dengan cara yang aneh itu.

Sama ada penyokong PAS dan Pakatan Rakyat mahupun Penyokong Barisan Nasional semuanya gempar.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat mereka tersinggung kerana mereka langsung tidak ada maklumat tentang usaha untuk mewujudkan perundingan antara kedua-dua pihak. Sedangkan pertemuan seperti itu, melalui gambaran media seolah-olah berlaku dengan perancangan yang diatur dengan baik.

Bagi pihak Umno, mereka mula melihat perkembangan ini satu peluang besar. Bagi perancang-perancang politik licik mereka peluang ini mesti diambil untuk melakukan dua perkara besar. Pertama supaya PAS berpecah kerana marahkan pemimpin yang dianggap melakukan pakatan secara rahsia dengan pihak musuh. Kedua supaya sekutu-sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat melabel PAS sebagai menikam kawan dari belakang.

Permainan media yang menjurus ke arah matlamat ini menyaksikan kelam kabut yang agak ketara.

Perdana Menteri Abdullah mendedahkan kononnya telah tiga kali berunding dengan PAS demi menyelamatkan Melayu dan Islam. Media pro-Umno terus mendendangkan betapa perlunya kedua-dua parti itu bersemuka dan bermuzakarah demi kepentingan bangsa dan agama.

Sampai satu peringkat, Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan fatwa mengejut bahawa muzakarah PAS-Umno tidak akan diadakan. Segala perbincangan tentang hal itu diarahkan tutup serta merta.

Bagi meleraikan hal ini, Majlis Syura mengadakan mesyuarat tergempar di Kota Bharu. Hasilnya diputuskan bahawa PAS sama sekali tidak akan bermuzakarah dengan Umno. Kalau pun ada pertemuan ia sekadar Muqabalah (istilah yang baru diperkenal bermaksud percakapan atau perbincangan yang tidak bermatlamat untuk membuat sebarang keputusan).

Dengan keputusan itu, jelaslah bagi penyokong PAS dan Pakatan Rakyat. PAS akan terus bersetia dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat tanpa sebarang was-was.

Dalam keadaan tertentu tidak perlu mengelak untuk bercakap dan berbincang dengan Umno dalam ruanglingkup yang tidak melibatkan pakatan politik kedua-dua parti.

Kini apa yang berlaku ialah percubaan Umno untuk terus memperbesarkan isu ini kerana mereka semakin yakin jerat yang mereka pasang semakin mengena.

Dari dalam, ahli PAS ada yang berapi-api marahkan pemimpin mereka yang dilabel dengan pelbagai cap yang negatif.

Pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pakatan Rakyat mula mempersoalkan PAS secara yang agak kasar kerana dituduh tidak bersetia dengan rakan.

Perkembangan ini sebenarnya satu rezeki mendatang kepada PAS. Dengan keadaan krisis seperti ini PAS akan bergerak selangkah kehadapan untuk memperkenalkan diri kepada khalayak rakyat Malaysia.

PAS merupakan parti paling stabil di Malaysia seperti kata Naib Presidennya Dato' Husam Musa.

Percubaan untuk memecah belahkan PAS tidak akan sampai ke mana. Kemarahan ahli PAS akan segara tamat apabila episod ini berakhir dengan jelas. PAS tidak akan sama sekali akan mengadakan pakatan dengan Umno. Semakin hari semakin menyerlah bahawa yang tergila-gila untuk kononnya berpakat ialah Umno.

Tawaran bekas Menteri Besar Perak, Tajol Rosli Ghazali untuk melantik Menteri Besar PAS jika berlaku perkongsian PAS-Umno bukan sekadar kebudak-budakan malah ia melambangkan taktik busuk hati Umno dalam berpolitik.

Keadaan akan pasti reda apabila ikatan PAS dalam Pakatan Rakyat bukan sekadar tidak putus bahkan akan semakin kukuh selepas melalui episod ini.

Kehendak PAS untuk bersama Pakatan Rakyat bukan strategi politik yang hanya difahami oleh segelintir pemimpin tertingginya sahaja tetapi ia kehendak umum ahli parti itu di semua peringkat.

Muktamar PAS yang bakal diadakan di Ipoh 15 Ogos ini akan menyaksikan mandat seluruh ahli PAS untuk terus kukuh bersama Pakatan Rakyat.

Episod Muzakarah dan Muqabalah ini akan menjadi sumber inspirasi besar kepada pada pendokong PAS untuk memberi lampu sehijau-hijaunya kepada pemimpin mereka untuk terus mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Umno dan Barisan Nasional bakal mendapat malu besar jika mereka terus mempermainkan isu ini dengan harapan PAS akan berpecah belah serta dibenci rakan-rakannya.

Sunday, July 27, 2008

PAS Kelantan pasca PRU 2004: Gerakan Islam dalam menghadapi realiti politik

Keputusan pilihanraya 2004 di Kelantan merupakan kejutan terbesar kepada PAS, kalaupun bukan satu tragedi. Parti yang memerintah sejak 1990 bagi pusingan kedua selepas kemerdekaan negara hanya mampu mempertahankan 23 kerusi di dewan undangan negeri. Hanya melebihi 2 kerusi daripada pihak lawannya, Barisan Nasional (BN).

Situasi ini telah menimbulkan satu suasana cemas dalam mentadbir sebuah kerajaan. Dengan kemunculan tokoh-tokoh baru, perubahan strategi telah dilaksanakan dengan ketara oleh parti Islam yang mengendalikan pemerintahan. Dari sebuah parti yang menggunakan unsur tradisi dan bergantung harap kepada karisma kepimpinan, PAS bergerak cepat memenangi hati rakyat dengan keupayaan perkhidmatan dan kecekapan sistem penyampaian dalam sistem politik moden.