Thursday, December 25, 2008

Ketegangan di selatan Thai bawa rahmat - aktivis sosial



Kota Bharu, 24 Dis - Ketegangan dan konflik di selatan Thailand dianggap memiliki rahmat apabila masyarakat Islam semakin bersatu dan penghayatan Islam semakin meningkat di kawasan berkenaan.

Menurut aktivis kemasyarakatan dari Yala, Saudara Mansor Saleh, suasana di wilayah-wilayah majoriti umat Islam itu kini lebih jelas penghayatan Islam berbanding sebelum konflik yang telah meragut lebih 3500 nyawa tercetus empat tahun lalu.

"Kalau sebelum ini banyak aktiviti maksiat dijalankan begitu terbuka, kini hampir keseluruhan tempat-tempat tercela ini tidak lagi menjalankan aktiviti secara berleluasa," katanya yang menggerakkan pusat pembelajaran berterusan yang berpusat di bandar Yala.

Sekolah-sekolah Islam pula menurut beliau kini mendapat sambutan hangat penduduk tempatan kerana semakin yakin hanya dengan memberikan pendidikan Islam masa depan mereka lebih terjamin kerana dapat mengelak dari terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.

Dari segi pengajaran Islam beliau turut melahirkan rasa syukur kerana sejak kebelakangan ini isu perpecahan antara kumpulan pondok tradisional dan ulamak muda lepasan Asia Barat semakin reda.

"Sebelum konflik ini berlaku keadaan tegang berlaku antara golongan pondok yang mempertahankan tradisi Syafiiyah dengan para ulamak muda yang membawa sentimen anti Bidaah yang dicedok dari kebanyakan pusat penyebaran Islam di tanah Arab," ujar beliau.

Perubahan menurut beliau amat ketara sekarang apabila kedua-dua pihak telah banyak bertolak ansur dan sama-sama berganding bahu bagi membangunkan masyarakat setempat yang kini terhimpit akibat kekacauan yang tercetus antara pihak pemerintah dan penentang bersenjata.

Berkaitan kerjaaan baru pimpinan Abhisit beliau berkata rakyat selatan Thai masih tertunggu pengumuman dasar kerajaan baru kerana parti Demokrat yang kini berkuasa mempunyai sokongan meluas di wilayah yang bergolak itu

"Rakyat selatan amat berharap kerajaan baru membawa pendekatan berbeza dengan membanyakkan perbincangan dengan masyarakat tempatan berbanding tindakan kerajaan sebelum ini yang dilihat menutup pintu rundingan," jelas beliau lagi. 

Monday, December 22, 2008

Isu hudud kukuhkan PAS hadapi 17 Januari ~ ref Malaysiakini

Isu hudud tercetus lagi. Media perkakas Barisan Nasional dengan segera cuba mengambil kesempatan dari kenyataan Dato' Husam Musa di majlis forum di Kota Bharu 21 Disember lalu.

Banyak pihak temasuk dari kalangan penyokong PAS kelihatan panik. Ramai beranggapan isu ini akan memalapkan PAS dalam menghadapi pilihanraya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Saya berpendapat kemunculan isu ini merupakan bonus besar kepada PAS. Kini PAS menjadi fokus. Sekali lagi semua mata tertumpu untuk mengenali parti ini dari dekat. Ada yang datang dengan wajah garang dan mata yang berapi untuk marahkan parti itu. Tidak kurang berduyun-duyun akan menampilkan pembelaan.

Benarkah PAS tiba-tiba jadi parti jahat, tidak toleran dan harus dijauhi oleh orang lain semata-mata janji untuk laksanakan hudud jika ditakdirkan berkuasa mentadbir negara ini. 

PAS diasaskan oleh mereka yang mahukan kebaikan dan sentiasa berusaha menolak segala bentuk kejahatan dan penyelewengan. Realiti semasa menunjukkan para pendokong PAS dari ahli biasa hingga pimpinan tertingginya adalah daripada orang yang baik-baik. Mereka taati perintah Allah sekadar termampu dan sentiasa berjuang menolak kejahatan dan kemungkaran.

Dengan tercetus isu seperti ini sekali lagi sesiapa saja boleh menghampiri orang-orang PAS. Dengan perkenalan rapat mereka tentu akan bertemu untuk memahami perbezaan PAS dengan penentangnya. Sesiapa pun yang tidak keliru tentu akan lebih yakin dengan PAS yang berjuang untuk kebaikan sejagat berbanding para penentangnya yang bergelumang segala macam durjana dan penyelewengan.

Hudud merupakan salah satu arahan tetap agama Islam seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Ia bukan ideologi atau manifesto PAS tetapi kewajipan setiap muslim bila mereka berkuasa untuk melaksankannya. Malangnya ada pihak yang cuba mengelirukan keadaan dengan sangkaan mereka dapat beroleh keuntungan politik dengan melabel hudud adalah agenda PAS. Sebagai muslim yang taat PAS tidak akan ragu untuk terus berbuat segala yang telah diperintah. 

Yakinlah bahawa mereka yang cuba mempermainkan-mainkan perintah Allah akan menghadapi akibat yang buruk. PAS harus bersyukur dengan kemunculan isu ini menjelang pilihanraya di Terengganu kerana dengan perbicangan meluas akan jelaslah kepada pengundi siapa yang berusaha membela mereka dengan kebaikan dan siapa pula yang sebenarnya mempermain-mainkan agama untuk kepentingan politik sempit. - puteratokbali.blogspot.com